Gaming
RM616 Juta dalam 4 hari, Pokémon Pokopia masih nombor 1 di Jepun
SEJAK dilancarkan pada 5 Mac lalu, Pokémon Pokopia tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan.
Game eksklusif Nintendo Switch 2 ini terus mendominasi carta jualan di Jepun, membuktikan bahawa ia bukan sekadar hype semata-mata.
Dalam tempoh empat hari pertama selepas pelancarannya, Pokémon Pokopia berjaya mencatatkan jualan melebihi 2.2 juta salinan di seluruh dunia, termasuk lebih 1 juta salinan di Jepun sahaja, menurut kenyataan rasmi Nintendo (12 Mac 2026).
Berdasarkan harga runcit rasmi USD $69.99 (kira-kira RM280 satu salinan), jumlah hasil jualan global dianggarkan mencecah RM616 juta.
Menurut laporan Forbes (12 Mac 2026), pencapaian ini turut mendorong harga saham Nintendo melonjak hampir 20 peratus.
Minggu ketiga selepas pelancaran (16-22 Mac 2026), Pokémon Pokopia kekal di tempat pertama carta perisian mingguan Famitsu dengan jualan 114,515 salinan di Jepun – hanya turun 2 peratus berbanding minggu sebelumnya, menurut Nintendo Everything (26 Mac 2026).
Jumlah kumulatif salinan fizikal di Jepun kini mencapai 772,915 salinan, belum termasuk jualan digital. Untuk konteks, game nombor 2 pada minggu yang sama iaitu Crimson Desert (PS5) hanya mencatatkan 31,108 salinan.
Pokémon Pokopia adalah game simulasi kehidupan pertama dalam francais Pokémon, dibangunkan bersama oleh Game Freak dan Omega Force (Koei Tecmo).
Berdasarkan laman rasmi The Pokémon Company, game ini kini menjadi game Pokémon yang mendapat penarafan tertinggi dalam sejarah di Metacritic.
Kejayaan Pokémon Pokopia membuktikan bahawa formula baharu genre cozy life simulation boleh menarik khalayak yang lebih luas.
Ini memberi isyarat penting kepada industri permainan global, termasuk Malaysia, bahawa kandungan yang berfokus kepada pengalaman santai mampu bersaing dalam pasaran gaming.
