Mobile Legends
MPL: “Dari Musim 1 lagi patut ada penganalisis” – Pseudo
Penggiat dan pengulas e-sukan Justin Nicholas Gregory menyifatkan pasukan-pasukan Mobile Legends tempatan yang menyertai Liga Profesional (MPL) sepatutnya sudah perlu mendapatkan penganalisis sejak musim pertama lagi.
Jelasnya, peranan penganalisis adalah penting bagi menilai corak permainan (gameplay) yang bukan sahaja tertumpu kepada seseorang pemain tetapi ekosistem yang lebih besar.
“Setiap pemain mempunyai pelbagai latar belakang berbeza dan mereka mungkin mempunyai kelebihan dari segi mekanikal, kebolehan penyesuaian diri dan kebolehan membaca peta (map awareness).
“Mempunyai satu atau dua kelebihan itu sebagai seorang pemain tidak mencukupi sebagai satu pasukan. Anda perlukan kelima-lima pemain untuk mempunyai kefahaman dan berada di haluan yang sama sebagai satu pasukan.
“Siapa yang perlu memastikan setiap pemain perlu dilengkapi dengan kelebihan-kelebihan itu jika bukan individu yang ditugaskan sebagai penganalisis untuk membantu perkembangan pasukan secara keseluruhan?” katanya ketika dihubungi WTM Today baru-baru ini.
Bagaimanapun, Pseudo berkata penganalisis juga akan membantu jurulatih dan pihak pengurusan pasukan.
“Seseorang pengurus pasukan akan melihat dari segi aspek di luar konteks permainan. Jurulatih pula perlu fokus setiap perkembangan dalam permainan.
“Jika anda tiada penganalisis, bagaimana jurulatih itu mempunyai keupayaan untuk melatih pasukan dan dalam masa yang sama dia perlu menonton dan menganalisis setiap perlawanan pasukan pihak lawan?
“Walaupun saya tidaklah menggesa untuk semua pasukan untuk terus mewujudkan sebuah organisasi yang dilengkapi dengan kakitangan yang lengkap termasuk ketua jurulatih, jurulatih bagi peranan khusus, penganalisis khusus bagi setiap pemain dan penganalisis bakat baru, namun kita tidak boleh menafikan kepentingan peranan setiap jawatan ini,” tambahnya.
Pseudo yang pernah menjadi pengulas rasmi MPL bagi musim pertama dan kedua, mempunyai pengalaman selama tujuh tahun dalam industri e-sukan sebagai pengulas, hos dan jurulatih.
Dia mula berjinak dalam arena ini secara profesional sejak 2012, sebagai pengulas e-sukan League of Legends.
Graduan Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Hertfordshire, UK itu pernah ditugaskan untuk menganalisis dan membangunkan rancangan latihan bagi pemain dan pasukan e-sukan seperti Kuala Lumpur Hunters, Mysterious Assassins dan Mystical Angels.
Selain Mobile Legends dan League of Legends, Pseudo juga pernah menjadi pengulas profesional bagi e-sukan Heroes of the Storm, Crisis Action, Hearthstone, Blackshot dan Point Blank.